20131019_222409

Adakah Bazar JB vs. Jalan Tan Hiok Nee satu isu perkauman?

Satu tahun selepas 5hb Mei 2013, apakah lagi perubahan yang dapat dilihat selain daripada lebih ramai wakil rakyat Pakatan Rakyat dalam dewan, kualiti perbahasan yang semakin meningkat serta aktiviti komuniti yang pelbagai? Apakah kita sudah berjaya meninggalkan politik perkauman yang diperjuangkan oleh Barisan Nasional?

Adakah masyarakat Malaysia mampu membina negara kita sebagai satu model negara majmuk tanpa mengira kaum, warna kulit atau agama?

Pakatan Rakyat memperolehi lebih 51% undi popular dalam PRU ke-13, yang menjadi petunjuk jelas bahawa lebih ramai rakyat Malaysia berminat terhadap dasar-dasar Pakatan Rakyat yang melindungi kepentingan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Malangnya, hasil pilihanraya tersebut dirompak oleh sistem pilihanraya yang dimanipulasi oleh Barisan Nasional.

Sebagai seorang wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat, saya sedih menyaksikan bagaimana parti-parti komponen Barisan Nasional masih memainkan politik perkauman sepanjang 12 bulan yang lalu,  namun pada masa yang sama ide perdamaian negara terus dicanang oleh Perdana Menteri.

Contohnya, parti MCA yang dengan sendiri melabelkan dirinya sebagai parti kaum Cina tetapi ditolak oleh pengundi Cina apabila ia memainkan isu Bazar JB vs. Jalan Tan Hiok Nee sebagai pertentangan kaum Melayu dengan kaum Cina.

Sebenarnya, peniaga kedai-kedai di Jalan Tan Hiok Nee tidak puas hati dengan Bazar Johor yang semakin berhampiran dengan kawasan budaya itu sebab kebersihan kawasan sekeliling yang tidak dijaga, selain kesesakan lalulintas serta tempat letak kereta yang tidak mencukupi akibat daripada Bazar JB.

Masalah tersebut pastinya mengundang kritikan daripada sesiapa sahaja terutamanya para peniaga tanpa mengira kaum, agama, jantina atau umur. Namun parti MCA memandang isu Bazar JB vs. Jalan Tan Hiok Nee sebagai isu penjaja Melayu yang mengganggu perniagaan peniaga kecil Cina di kawasan tersebut.

Sementara itu, persatuan peniaga-peniaga Jalan Tan Hiok Nee sedang ditubuhkan dan mereka menyatakan bahawa ahli-ahli mereka termasuk semua kaum dan golongan umur. Jadi, apakah sebenarnya “hak dan kepentingan masyarakat cina” yang dipertahankan oleh Ahli Majlis MBJB dari parti MCA?

Isu pokok bukan kaum tetapi pentadbiran lemah Majlis Bandaraya Johor Bahru dan kekurangan imaginasi Barisan Nasional Johor untuk memajukan ekonomi tempatan. Kenapa isu kebersihan sekelilingi dan kekurangan tempat meletak kereta serta kesesakan lalulintas dimanipulasi oleh MCA sebagai isu perkauman?

Sesiapa yang pernah mengunjungi bazar di luar negara faham bahawa, kerajaan Johor ini langsung tidak mempunyai sebarang perancangan tentang Bazar JB. Dengan kepelbagaian barangan yang dijual oleh para penjaja, Bazar JB boleh dirancang mengikut kategori barang-barangan seperti bahagian kreativiti & seni, bahagian fesyen, bahagian antik (barang terpakai) serta bahagian makanan.

Perancangan sebegini bukan sahaja memudahkan pelancong luar negeri membeli-belah dalam bazar tersebut, malah memberi faedah kepada semua orang.

Selain itu, bagi meningkatkan dan mengukuhkan kedudukan Jalan Tan Hiok Nee sebagai kawasan budaya, pihak berkuasa tempatan sepatutnya mengeluarkan lesen perniagaan peniaga kecil kepada seniman dan pekerja kraftangan sahaja untuk mempromosikan seniman tempatan.

Jelas sekali bahawa ini bukanlah isu perkauman kerana Johor Bahru adalah sebuah bandar yang sudah lama menjadi milik kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Masjid India, kuil Hindu, Tokong Cina serta Gudwara Sikh terletak dalam kawasan seluas 1km persegi, bagaimana mungkin ahli politik MCA sanggup menjadikan isu ini sebagai isu pertentangan kaum?

Justeru, kita dapat melihat dengan jelas bahawa parti MCA tidak belajar apa-apa pun dari keputusan teruk mereka dalam pilihanraya umum ke-13, apabila golongan muda serta penduduk bandar menolak dan akan terus menjolak  mereka dalam pilihanraya yang akan datang jika mereka hanya mampu memainkan isu perkauman sahaja.