sbrunch (2)

 

Kenyataan Media Setiausaha Publisiti DAP Johor dan ADUN Senai Wong Shu Qi pada 28hb November 2016 (Isnin):

 

Ceramah politik Menteri Besar Johor dalam dewan berunsur perkauman dan tidak berasas fakta 

 

Ucapan penggulungan Menteri Besar semalam adalah ucapan yang paling teruk dalam Dewan Negeri selepas Khaled Nordin menjadi Menteri Besar Johor. Paling penting sekali, ucapan dia tidak berasas fakta, malah, membuat tuduhan bukan-bukan yang berunsur perkauman.

 

Amat malang sekali, Menteri Besar telah memperalatkan peluang menggulung perbahasan bajet negeri sebagai pentas ceramah politik. Sebenarnya peluang tersebut patut digunakan sebagai platform bagi menerangkan dasar belanjawan dan strategi pembangunan negeri bagi tahun yang akan datang serta menjawab soalan-soalan Ahli Dewan terhadap dasar kerajaan. Namun nampaknya, Khaled Nordin hanya mampu berucap tahap Jamal Sekinchan, membuat tuduhan palsu dan berbaur perkauman. Ceramah politik ini menunjukkan bahawa beliau cuma berminat untuk melindungi kesilapan besar bos beliau, Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

 

Dalam ceramah politik Khaled Nordin di Dewan Negeri tersebut, beliau sekali lagi menggunakan taktik lama UMNO dengan memburukkan imej DAP dengan tuduhan perkauman. Khaled Nordin menuduh DAP tidak menjaga kepentingan kaum Melayu dan India di negeri Pulau Pinang.

 

Pada masa yang sama, parti rakan UMNO, MCA sentiasa menyerang DAP kerana kerajaan Pulau Pinang menaikkan peruntukkan kepada hal ehwal Islam, serta kepada sekolah agama setiap tahun sejak 2008. Tambahan DAP diserang oleh parti rakan UMNO kerana akan membinakan sebuah Hospital Islam yang pertama di Pulau Pinang.

 

Justeru, siapa yang cakap benar dan siapa yang menipu? Khaled Nordin ataupun kawan-nya MCA? Adakah Pulau Pinang menindas Islam dan Melayu seperti dituduh oleh Khaled Nordin ataupun terlalu mengikut telunjuk orang Islam dan Melayu seperti tuduhan MCA?

 

Serangan terhadap DAP sebenarnya menunjukkan bahawa UMNO Johor yang dipimpin oleh Khaled Nordin sudah bankrap idea dalam persaingan dasar. Justeru UMNO kembali membuat perkara yang mereka paling arif, membuat hasutan perkauman. Khaled Nordin patut berasa malu atas kegagalan beliau sebagai Menteri Besar dan meletak jawatan.

 

Adakah Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan anti-Islam?

 

Mengikut perangkaan, sebanyak RM37.25 juta telah diperuntukkan untuk hal ehwal Islam di negeri Pualau Pinang pada 2009, RM39.60 juta pada 2010, dan seterusnya, RM65.27 juta (2011), RM66.38 juta (2012), RM55.13 juta (2013) dan RM52.21 juta (2014). 

 

Semasa era pentadbiran BN sebelum 2008, peruntukan yang paling tinggi cuma RM25.49. Malah, Barisan Nasional ketika itu tidak pernah memberikan peruntukkan berkala satu sen pun kepada Sekolah Agama Rakyat.

 

Sebaliknya, kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Saudara Lim Guan Eng menyalurkan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat sebanyak RM1.5 juta setiap tahun daripada 2008 sehingga 2009 sebelum ditambah kepada RM1.75 juta setiap tahun pada 2010 hingga 2014. Dengan peruntukkan tahunan ini juga, makmal sains dan makmal komputer berjaya didirikan buat kali pertamanya di sekolah agama rakyat di negeri Pulau Pinang.

 

Semasa Ramadhan tahun ini juga kerajaan negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan RM15 juta untuk pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan di kawasan Teluk Kumbar.

 

Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Lembaga Wakaf Hindu (Penang Hindu Endowments Board) telah menghulurkan biasiswa kepada pelajar-pelajar komuniti India yang memerlukan bantuan kewangan. Setiap tahun, sebagaimana sekolah agama rakyat tadi, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan peruntukan berkala RM1.7 juta kepada sekolah Tamil.

 

Kerajaan negeri juga memperuntukkan tanah untuk pembinaan sekolah menengah Tamil yang pertama di Malaysia, tetapi malangnya usaha penubuhan sekolah dihalang oleh bos Khaled Nordin di peringkat pusat.

 

Sehingga tahun 60-an, terdapat lebih 1000 sekolah Tamil di seluruh negara, namun jumlah itu tinggal hanya 523 buah ekoran dasar perkauman UMNO-Barisan Nasional.

 

Di bawah pentadbiran Khaled Nordin tiada peruntukkan untuk SJKC setiap tahun, tiada bantuan untuk SJKT sehingga didesak dalam Dewan Negeri oleh barisan pembangkang. Manakala, kerajaan Pakatan Harapan memperuntukkan RM8.5juta untuk semua sekolah menengah kebangsaan, sekolah menengah persendirian, sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah katolik setiap tahun bermula tahun 2009.

 

Justeru, adakah Pulau Pinang meminggirkan kaum Melayu dan India dan memihak satu kaum sahaja?

 

Sebenarnya dasar kerajaan negeri Pulau Pinang amat jelas berasaskan nilai keadilan kepada semua. Rakyat Pulau Pinang pelbagai kaum dan agama dijaga melalui dasar ekonomi berkebajikan dan bukan perkauman seperti yang diamalkan oleh UMNO-Barisan Nasional. Nampaknya Khaled Nordin masih tidak mampu untuk melepaskan diri daripada pengaruh perkauman tersebut. Perbuatan beliau bukan sahaja mengecewakan rakyat berbilang kaum negeri Johor malah telah mengkhianati konsep Bangsa Johor. Beliau dalam ghairah melindungi kerajaan kreptokrat peringkat pusat pimpinan MO1 serta ingin menutup aib kerajaan negeri Johor pimpinan beliau sendiri yang telah gagal dalam persaingan dengan Pulau Pinang telah membongkok begitu bawah menyerang DAP dengan penipuan dan perkauman.

 

Ceramah politik beliau hanya retorik tanpa fakta, ini jauh berbeza dengan wibawa Menteri Besar Johor terdahulu mahupun Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya mengesyorkan kepada Menteri Besar agar belajar daripada Tan Sri Muhyddin Yassin ataupun Saudara Lim Guan Eng dan bukan dengan Jamal Sekinchan.

 

 

Wong Shu Qi