Kenyataan Media Bersama Pemimpin-Pemimpin Pakatan Harapan Johor pada 24hb Ogos 2017 (Khamis) di Johor Bahru:

SPRM PERLU MEMBUKA KERTAS SIASATAN KES PENIPUAN PERMOHONAN RUMAH MAMPU MILIK JOHOR (RMMJ) MELALUI KUOTA MENEGAK KERAJAAN (KMK)

1. Pada bulan Mac yang lalu, media telah melaporkan bahawa seorang pemimpin Pemuda UMNO ditahan polis di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan berhubung dengan kes penipuan pembelian RMMJ. Walau bagaimanapun, tiada sebarang perkembangan lanjut tentang kes tersebut sehingga sekarang.

2. Mengikut maklumat terkini yang perolehi, kes ini bukannya kes penipuan biasa, tetapi melibatkan salahguna kuasa dan dipercayai mempunyai unsur rasuah dalam proses permohonan RMMJ. Justeru itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib menyiasat kes ini.

3. Dalam Akuan  Sumpah oleh Puan Umi Kalsom Binti Jaafar @ Jaffery dan Abdul Hamid Bin Soaip pada 23 Februari 2017, mereka telah mengakui bahawa kegiatan penambahan pengundi di Parlimen Gelang Patah dilakukan dengan pertukaran kepentingan dalam proses permohonan RMMJ di bawah Kuota Menegak Kerajaan (KMK).

4. Umi Kalsom mengakui bahawa beliau bertindak sebagai broker permohonan RMMJ melalui Kuota KMK. Dalam melaksanakan tugas ini beliau dibantu oleh Abdul Hamid Soaip, Ketua Pemuda UMNO Gelang Patah dan Mohammad Khairi A. Malik, Ketua UMNO Gelang Patah. Kedua-dua pemimpin UMNO ini telah memberikan pertolongan kepada perniagaan broker Umi Kalsom dan sebagai balasan Umi Kalsom telah melaksanakan kerja-kerja penambahan seramai 3,000 orang pengundi di Parlimen Gelang Patah khususnya di Dun Nusajaya.

5. Umi Kalsom juga mengakui menerima sejumlah bayaran yang ditetapkan oleh beliau sendiri daripada setiap pemohon RMMJ.

6. Mohammad Khairi  A. Malik yang merupakan Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Johor mempunyai pengetahuan tentang urus niaga tersebut, malah terlibat dalam memberi pertolongan kepada urus niaga Umi Kalsom. Jelas sekali, Mohammad Khairi A. Malik telah menyalahguna kuasa jawatan yang disandangnya dalam kerajaan untuk tujuan tersebut. Oleh itu, Pakatan Harapan Johor mendesak supaya Mohammad Khairi A. Malik meletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Johor.

7. Kes ini membuktikan bahawa UMNO telah menyalahguna kuasa dalam proses permohonan RMMJ demi menjaga kepentingan kroni-kroni dalam rangkaian politik mereka. Kes ini juga membuktikan bahawa UMNO telah aktiviti menambah pengundi di sesuatu kawasan secara terancang melalui kaedah yang tidak sah di sisi undang-undang.

8. Dengan ini, Pakatan Harapan Johor mendesak SPRM agar segera membuka kertas siasatan terhadap kes ini termasuk membuat siasatan ke atas amalan Kuota KMK yang mana ianya bukanlah merupakan sebahagian daripada polisi dalam Dasar Perumahan Rakyat Johor 2012. Siasatan SPRM ini penting terutama dalam usaha untuk menghapuskan budaya rasuah dan penyalah gunaan kuasa dalam kerajaan negeri Johor.

Parti Amanah Negara (AMANAH)
Democratic Action Party (DAP)
Parti Keadian Rakyat (PKR)
Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

Attachment: Akuan Bersumpah Abdul Hamid  Akuan Bersumpah Umi Kalsom